• Ilmu
  • Upah Haji & Umrah
  • Qurban & Aqiqah
  • Hadiah
  • Derma
  • Kualiti & Polisi
  • Hubungi
  • Ilmu
  • Upah Haji & Umrah
  • Qurban & Aqiqah
  • Hadiah
  • Derma
  • Kualiti & Polisi
  • Hubungi

PAHALA & HIKMAH UPAH HAJI

  • October 15, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized

HIKMAH UPAH HAJI
1. Memberi peluang kepada orang sakit yang tiada harapan sembuh mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya.
2. Orang tua yang hilang upaya dapat mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya.
3. Memberi peluang kepada anak atau ahli keluarganya bebakti kepada ibu bapa atau keluarga yang telah meninggal dunia.
PAHALA UPAH HAJI
Dari Ibnu Abbas ra berkata, “Sesiapa yang mengerjakan Haji bagi pihak orang yang telah meningal dunia, ditulis bagi orang yang telah meninggal dunia itu satu Haji dan orang yang mengerjakan Haji tersebut mendapat tujuh Haji”. Dalam satu riwayat lain, “Dan bagi orang yang mengerjakan Haji tersebut akan terselamat dari api neraka”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Zar).
Dari Abi Razin Al-Uqaily bahawa dia berjumpa Nabi saw dan berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku terlalu tua dan tidak larat untuk mengerjakan Haji, Umrah atau berjalan dalam rombongan”. Sabda Nabi saw, “Kamu kerjakanlah Haji dan Umrah bagi pihak ayahmu”. (Hadis riwayat At-Tarmizi dengan katanya hadis ini bertaraf hasan sahih. Nama sebenar Abi Razin ialah Laqit bin Amir).

AIR ZAM-ZAM MENURUT SAINS

  • October 15, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized

Kelebihan atau keistimewaan air zam-zam ini juga telah diakui oleh saintis dari Jepun iaitu Dr. Masaru Emoto. Beliau mengatakan bahawa air boleh membentuk molekul. Molekul air ini yang akan merembes ke dalam tubuh manusia, serta ia boleh memberikan kesan kepada tubuh badan manusia. Pada tahun 2003, beliau turut membuat kajian terhadap air zamzam dan terdapat dalam bukunya ‘The True Power of Water’ tentang hasil yang menakjubkan tentang air zamzam, menurutnya daripada sejumlah molekul air yang dikaji, hanya molekul air zamzam yang bentuknya teratur, mempunyai keindahan dan keunikan yang sungguh berbeza.

 

Molekul air zamzam berbentuk kristal indah teratur dan berkilauan seperti berlian. Keunikan ini mencerminkan keistimewaan yang dimiliki oleh air zamzam dari segi rasa, struktur molekul dan khasiat yang tidak terdapat pada air-air yang pernah dikajinya.
Kekuatan air zamzam terdiri daripada empat unsur bahan yang berkhasiat di dalamnya. Empat bahan galian yang berunsur kimia yang dimaksudkan ialah Kalium, kalsium, magnesium, natrium. Kalium dan magnesium merupakan bahan galian yang amat penting dan diperlukan oleh tubuh manusia untuk mengembalikan kesegaran dan memulihkan tenaga yang terjejas akibat keletihan dan gangguan penyakit. Oleh kerana kandungan kedua-kedua galian ini dalam air zamzam jauh lebih tinggi daripada air-air biasa yang lain, maka bolehlah dirumuskan bahawa air zamzam merupakan satu rahmat Allah SWT dan mempunyai berbagai-bagai manfaat untuk manusia.

KELEBIHAN AIR ZAM-ZAM

  • October 15, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized

Bentuk perigi lama air zam-zam yang di letakkan di muzium sebagai pameran generasi terkini yang tidak sempat melihat keadaan perigi suatu ketika dahulu.

Berdasarkan riwayat Ibn Majjah, berikut merupakan fadhilat atau kelebihan air zam-zam kepada kita:
• Air zam-zam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah
• Air zam-zam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang lebih sahih bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.
• Air zam-zam adalah kurniaan daripada Allah yang utama kepada kekasihNya iaitu Nabi Ismail AS.
• Air zam-zam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Ini merupakan pendapat dari Imam ibn al-Daiba’ al-Syaibani.
• Allah SWT telah menjadikan air zam-zam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.
• Banyak meminum air zam-zam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq. (Hal ini kerana orang munafiq tidak mempercayai kelebihannya)
Disamping itu, kelebihan air zam-zam juga adalah:
• Air zam-zam adalah air terbaik di dunia. Ini dibuktikan berdasarkan hadith:
Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Mafhumnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)] [al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadith ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat: Majma’ al-Zawaid, 286/3]
• Air zam-zam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar bagi penyakit (dengan izin Allah).
Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Padanya (air zam-zam) terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi [penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]
• Air zam-zam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW.
Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zam-zam”. [Riwayat al-Bukhari (1636)]
• Air zam-zam bergantung pada niat orang yang meminummya.
Daripada Ibnu ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Air Zam-zam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air Zam-Zam adalah galian Jibril, dan curahan minum daripada Allah kepada Ismail.” [Hadits hasan li ghairihi. Lihat kitab Shahih Targhib wa Tarhib, al Albani, 2/19.]

AIR ZAM-ZAM DAHULU & SEKARANG

  • October 15, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized

SAYA masih ingat ketika zaman kanak-kanak apabila ada saudara mara yang balik dari Mekah menyedekahkan air zamzam, terasa amat sukar untuk menelannya walaupun seteguk kerana rasanya yang payau. Ketika itu jika disuakan air zamzam mahu sahaja menolaknya walaupun dalam hati terasa rugi kerana tidak sanggup meneguk air yang menjadi dambaan seluruh umat Islam.

Namun, apabila mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini sebagai petugas media yang membuat liputan sepanjang musim haji 1439 Hijrah, meminum air zamzam yang disediakan di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidilharam, Mekah setiap kali sebelum dan selepas solat tidak menjadi masalah. Terasa kelainannya kerana air zamzam yang diminum lebih ‘ringan’ atau kurang payau.

Justeru, apabila petugas media dijemput melawat loji pembersihan dan pembotolan air zamzam di daerah Kudai, Mekah, perbezaan rasa air zamzam dahulu dan sekarang antara persoalan yang diutarakan kepada pegawai Suruhanjaya Umum untuk Media Audiovisual (GCAM), Mohammed Asiri yang mengendalikan lawatan itu serta bertindak sebagai penterjemah.

Menurut Mohammed Asiri, air zamzam yang diminum di Mekah dan Madinah sekarang serta dibekalkan kepada jemaah haji dan umrah untuk dibawa pulang telah menjalani proses tapisan daripada debu dan kotoran bagi memastikan keasliannya terpelihara. Malah, difahamkan bahawa Raja Salman Abdulaziz Al-Saud juga pernah menyebut tentang kelainan rasa air zamzam dahulu dan sekarang.

Zamzam merupakan punca mata air yang terletak di kawasan Masjidilharam iaitu di sebelah tenggara Kaabah yang dikatakan berkedalaman 42 meter.

Jika meneliti proses pengagihan air zamzam, pada masa dahulu ia dilakukan secara manual iaitu menerusi paip air yang disalurkan terus dari telaga asal, menggunakan pelbagai jenis botol dan bekas plastik yang mendedahkannya kepada pencemaran. Ketika itu, kesesakan di kawasan paip air zamzam di dalam dan sekitar Masjidilharam adalah pemandangan biasa.

Sebab itu pada 1427 Hijrah, Raja Abdullah Abdul-Aziz, pemerintah Arab Saudi ketika itu menitahkan agar dibina loji pembersihan serta pembotolan air zamzam yang pada 1431 Hijrah dinamakan Projek Air zamzam Raja Abdullah Ibn Abdul-Aziz (KPZW).

Ini bagi memastikan keaslian serta kebersihan air itu terpelihara dan memudahkan umat Islam mendapatkannya. Projek itu melibatkan peruntukan sebanyak SR700 juta (RM850 juta) yang ditaja sepenuhnya oleh baginda.

Selepas beberapa penambahbaikan, sekarang semua air zamzam yang dipam dari telaga asal di bawah dataran Kaabah disalurkan terus ke KPZW yang terletak empat kilometer dari Masjidilharam menggunakan paip L316 besi tahan karat.

Selepas proses pembersihan dan pensterilan menerusi tapisan, air berkenaan kemudiannya disalurkan menerusi cahaya ultra ungu untuk membunuh kuman yang air berkenaan mungkin terdedah semasa proses pengeluaran.

Selepas melalui semua proses berkenaan yang berteknologi tinggi, air berkenaan disalurkan ke takungan Kudai dan King Abdul-Aziz Sabeel. Air zamzam untuk diminum jemaah di Masjidilharam dibekalkan oleh takungan Kudai manakala untuk Masjid Nabawi di Madinah menerusi takungan King Abdul-Aziz Sabeel yang diangkut setiap hari dengan 10 buah treler.

Proses mengepam dan jalinan tangki kesemuanya menggunakan gentian optik yang dikawal oleh sistem SCADA bagi memastikan kadar takungan yang sesuai serta memastikan air zamzam sentiasa tersedia bila-bila masa sahaja.

Untuk proses pembotolan pula, air dari satu lagi tangki simpanan berkapasiti 10,000 meter padu di KPZW disalurkan ke kilang yang mampu membotolkan sebanyak 200,000 botol air zam-zam berkapasiti 10 liter.

Botol lima liter pula diperkenalkan khusus untuk diberi kepada jemaah haji dan umrah untuk dibawa pulang. Bagi jemaah haji Malaysia, air zamzam dalam botol lima liter diagihkan sebaik sahaja mereka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Di Mekah sekarang, untuk mendapatkan air zamzam dalam botol amat mudah tanpa perlu bersesak-sesak menerusi pelaksanaan kaedah agihan yang pantas di pusat pengedaran KPZW. Jika sebelum ini sistem token digunakan untuk mendapatkan botol 10 liter di 42 mesin layan diri yang disediakan, sekarang sistem kod bar digunakan bagi menggantikannya.

Jemaah hanya perlu menunjukkan pasport masing-masing di kaunter pembelian dan membayar kos minimum SR5 bagi setiap botol. Selepas itu mereka boleh menuju ke barisan mesin layan diri yang disediakan dan sebaik sahaja mesin berkenaan ‘membaca’ kod bar di resit yang diberikan, maka botol air zamzam dikeluarkan secara elektronik.

Botol yang dikeluarkan melalui mesin layan diri diagihkan menerusi sistem gudang berpusat di premis berkenaan. Botol-botol yang disimpan dalam gudang berkenaan mengikut tarikh pengeluaran dialihkan dengan tali sawat automatik ke mesin layan diri apabila ada pembelian.

Kerajaan Arab Saudi juga telah melantik kontraktor khas untuk menghantar air zamzam bagi jemaah yang ingin membawanya pulang dengan mengambilnya di lapangan terbang di Jedah dan Madinah.

Namun, bagi jemaah Malaysia, proses penghantaran air zamzam botol 10 liter lebih mudah iaitu dengan mengepos ke tanah air menerusi perkhidmatan disediakan antaranya oleh Pos Malaysia Berhad dan Koperasi Tabung Haji.

Air zamzam sememangnya digalakkan untuk dibawa pulang oleh jemaah, malah Nabi Muhammad SAW merupakan manusia pertama yang membawa keluar air berkenaan ke Madinah. Mengenai air zamzam baginda menjelaskan: “Sesungguhnya air zamzam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi.”

Nabi Muhammad SAW menambah: “Air zamzam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail.” (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas)

Pembinaan KPZW sesungguhnya memberi lonjakan dan perubahan besar terhadap perkhidmatan penyediaan air zamzam kepada jemaah haji dan umrah serta umat Islam seluruhnya. Pelaksanaannya mengurangkan kesesakan di kawasan Masjidilharam dan dilakukan menerusi sistem yang menjamin kesihatan umum dengan memenuhi keperluan untuk membersihkan, membotolkan serta mengedarkannya secara selamat dan teratur.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/video-air-zamzam-dahulu-sekarang-1.751644#ixzz5Sx4RVYul 
© Utusan Melayu (M) Bhd


SEJARAH AIR ZAM-ZAM

  • October 3, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized
 
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa air zamzam ini mucul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah. Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) makkah.
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. [Surah Ibrahim: 14:37]
 
Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan di dalam sahih al-Bukhari,
Daripada Abdullah bin Abbas RA: Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun.
Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Safa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. [Riwayat al-Bukhari]

SEJARAH IBADAH QURBAN

  • August 29, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized

Tempat berlakunya peristiwa ketika diperintahkan kepada Ibrahim a.s. untuk menyembelih anaknya Ismail a.s.

 

Pengenalan Ibadah Qurban
Pada bulan Zulhijah setiap kaum Muslim melaksanakan ibadah khusus, iaitu melaksanakan Korban atau menyembelih haiwan. Ibadah korban sangatlah ditekankan dalam ajaran Islam sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah dan untuk menyebarkan rahmat Allah kepada sesama manusia. Dengan syariat Korban ini, maka ada penyaluran yang baik untuk kita lakukan. Ibadah korban akan membawa kebahagiaan rohani dan jasmani kepada seorang individu. Sekaligus mengeratkan hubungan sosial sesama manusia agar yang mampu dapat berbagi kepada yang tidak mampu, sehingga semua dapat merasakan kenikmatan bersama.
Ibadah korban merupakan salah satu perintah Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat karena Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.” (Al-Kauthar,108: 1-3)
 
Sejarah Ibadah Qurban
Ibadah korban bukanlah satu hal baru dalam sejarah umat Islam, bahkan sejak zaman Nabi Adam a.s., manusia pertama yang diciptakan oleh Allah sudah ada pelaksanaan korban, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Qur’an: Maksudnya “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maaidah,5: 27) Dalam kisah ini dijelaskan dua orang anak Adam sama-sama mempersembahkan korbannya kepada Allah, namun hanya korban dari Habil yang diterima, sedangkan korban dari Qabil tidak diterima. Mengapa demikian? Karena ternyata hanya korban yang dipersembahkan dengan ikhlas saja yang diterima oleh Allah SWT.
Selain itu, ibadah korban ini juga cukup sinonim dengan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang manusia yang telah digelar sebagai “Khalilullah” iaitu kekasih Allah, kerana kecintaan dan ketaatan kepada Tuhanya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu (Tuhan) yang telah menciptakan daku, lalu Dia menunjukkan daku (jalan hidayah). Dan yang telah memberikan daku makan dan minum. Dan yang apabila daku sakit, Dia menyembuhkan (daku). Dan yang akan mematikan daku, kemudiannya Dia menghidupkan (kembali). Dan yang amat ku ingini mengampunkan kesalahanku pada hari pembalasan”(As-Syu’ara’,26: 78-82)
Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang insan di dalam jiwanya penuh dengan perasaan kasih dan sayang. Bapanya yang kufur kepada Allah tetap dilayan dengan baik, bahkan didoakan keampunan buatnya sehingga datang perintah Allah untuk berhenti berdoa. Sifat ini, apatah lagi kepada anaknya yang dikurniakan Allah pada lewat usianya. Firman Allah SWT, “Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pada usia tuaku, Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (dan memperkenan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah daku dan zuriat keturunanku dari kalangan orang-orang yang menunaikan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah!” (Ibrahim,14: 39-40)
Pada suatu malam, Nabi Ibrahim a.s mendapat satu mimpi bahawa Baginda menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s. Ia merupakan satu perintah yang cukup menduga hati Baginda. Disebabkan hal itu, Nabi Ibrahim a.s telah mengkhabarkan kepada anaknya, Nabi Ismail a.s, yang baru mencecah usia baligh, untuk bertanyakan pandangannya. Nabi Ibrahim a.s bertanya bukan untuk mendapatkan keputusan, tetapi untuk menegaskan bahawa perintah Allah itu wajib dilaksanakan. Kisah ini tercatat di dalam firman Allah SWT: “Maka apabila anak itu sampai (pada umur mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab, “Wahai bapaku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar!” (As-Saffat,37: 102)
Perjuangan seorang bapa ini telah mendapat sokongan dari anaknya yang soleh. Bahkan si anak berusaha membantu bapanya di dalam melaksanakan suruhan Allah SWT. Nabi Ismail a.s dibaringkan di atas lantai, lalu diambil parang tajam yang sudah tersedia. Parang diletakkan pada leher Nabi Ismail a.s dan penyembelihan di lakukan, akan tetapi dengan kuasa Allah SWT, parang yang tajam itu menjadi tumpul dileher Nabi Ismail a.s dan tidak dapat dilakukan penyembelihan tersebut. Seraya Nabi Ismail a.s berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku.” Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah pergorbanan Nabi Ismail a.s itu hanya suatu ujian. Ujian itu adalah untuk mengukur sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pergorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail a.s tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam kecintaanya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raga untuk dikorbankan.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmanNya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan .” Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa Nabi Ismail a.s telah diselamatkan itu, Allah SWT telah menukarkan dengan seekor kambing yang telah tersedia di samping Nabi Ibrahim a.s dan segera dipotong leher kambing itu oleh baginda. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.
 
Syarat Ibadah Qurban
  • Islam
  • Baligh (Tidak diharuskan bagi wali kanak-kanak melakukan korban untuknya kecuali jika walinya itu bapa atau datuknya, dengan syarat perbelanjaan korban itu daripada wang bapa atau datuknya.)
  • Berakal
  • Merdeka
  • Berkuasa ( المستطيع) iaitu orang yang mempunyai keperluan yang lebih untuk dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya haji dan hari-hari tashriq. Orang yang tidak berkuasa haram ke atasnya melakukan korban sunat.
Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan qurban
  • Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).
  • Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu, sunat melihat binatang korbannya disembelih.
  • Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti berikut;

 

الْمُسْلِمِينَ مِنَ وَأَنَا أُمِرْتُ وَبِذَلِكَ لَهُ شَرِيكَ لَا الْعَالَمِينَ،  رَبِّ لِلَّهِ وَمَمَاتِي وَمَحْيَاي وَنُسُكِي صَلَاتِي  إِنَّ –

بَيْتِي وَأَهْلِيْ مِنّيْ تَقَبَّلْ  اللَّهُمَّ-

 

Syarat Binatang Qurban
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu dari jenis binatang ternakan.
Para ulama telah bersepakat bahawa korban tidak sah melainkan daripada binatang ternakan, iaitu unta, lembu, kerbau, kibas (biri-biri) atau kambing. Tidak sah korban dengan lembu liar.
Firman Allah SWT, Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Al-Hajj: 34)
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu cukup umurnya.
  • Unta, sekurang-kurangnya lima tahun lebih (masuk enam tahun).
  • Lembu, kerbau dan karnbing sekurang-kurangnya dua tahun lebih (masuk tiga tahun).
  • Kibas, sekurang-kurangnya setahun lebih (masuk dua tahun) atau bersalin giginya sekalipun belum mencukupi satu tahun.
  • Binatang kacukan di antara jenis-jenis tersebut, maka sekurang-kurangnya ialah yang paling tinggi sesudah dirujuk kepada kedua ibu-bapanya. Misalnya: Kacukan di antara kambing dengan biri-biri, maka had umurnya didasarkan kepada kambing iaitu dua tahuh lebih.
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu tidak ada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya seperti yang sakit (kelihatan kurus), yang terpotong ekornya dan seumpamanya. Adapun kecacatan seperti binatang yang dikasi, yang carik telinga, yang tiada tanduk, yang patah tanduk, maka tidak mengapa kerana kecacatan tersebut tidak mengurangkan dagingnya. Walaubagaimanapun, ia adalah makruh.
  • Hendaklah dilakukan korban di dalam waktunya. Iaitu bermula selepas berlalu solat sunat hari raya iduladha serta dua khutbahnya yang ringkas setelah naik matahari pagi hari raya dan berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
  • Hendaklah diniatkan berkorban, sama ada diniatkan oleh:
  • Orang yang berkorban itu sendiri ketika dia atau wakilnya menyembelih, atau ketika dia memberi wakil kepada tukang menyembelihnya
  • Wakil yang telah diwakilnya berniat dengan syarat dia adalah seorang Islam dan mumaiyiz.
 
Cara Pengagihan Daging Qurban
  • Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar yang dapat dinamakan sedekah (iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).
  • Daging korban (Harus) jika hendak disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin. Namun (Sunat) orang yang melakukan korban menikmati sedikit darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.
  • Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak;
  • Untuk dimakan diri dan ahli keluarga,
  • Disedekahkan kepada fakir miskin,
  • Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka kaya/berada.
  • Dilarang menjual apa-apa bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah diharuskan.
  • Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban kepada orang kafir yang berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak melarangnya.
  • Korban nazar dan korban untuk orang telah mati; wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin.

PERJALANAN HAJI

  • August 29, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized
Pada 8 Zulhijjah adalah Hari Tarwiyah iaitu hari jemaah berangkat menuju Arafah dan bertalbiah untuk haji. Pagi 8 Zulhijjah, semua umat Islam tanpa mengira lelaki atau wanita, memakai pakaian Ihram (dua lembar kain putih tanpa jahitan sebagai pakaian haji), kemudian berniat haji, dan mereka tidak putus-putus mengucapkan Talbiyah:

 

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

 “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu”
 
Jemaah haji kemudian berangkat menuju Mina, sehingga malamnya semua Jemaah haji seharusnya sudah berada dan bermalam di Mina.
 
Arafah
Pada sebelah pagi 9 Zulhijjah, semua jamaah haji pergi ke Arafah. Mereka akan berada di Arafah bagi mengerjakan Ibadah Wukuf iaitu berdiam diri dan berdoa atau menunaikan solat memohon rahmat daripada Allah SWT. Wukuf adalah rukun yang terpenting atau kemuncak ibadah haji dan ibadah wajib dilaksanakan setiap jemaah, termasuk bagi mereka yang sakit, walaupun hanya dengan  singgah seketika.
Wukuf dilaksanakan mulai dari tergelincir matahari tanggal 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar tanggal 10 Zulhijjah. Jika gagal untuk berada di Arafah pada tempoh waktunya maka ibadah haji tidak sah. Sabda Rasulullah SAW: “Haji adalah Arafah, barangsiapa yang datang pada malam harinya sebelum terbit fajar (hari kesepuluh), maka dia telah mendapatkan wukuf”. (HR. At-Tirmidzi)
Selepas waktu Maghrib pada 9 Zulhijjah, jemaah haji akan memulakan pergerakan untuk bermalam di Mudzalifah iaitu jarak sekitar 8 kilometer dari Arafah.
 
Mudzalifah
Pada malam 9 Zulhijjah, para jemaah akan berada di Muzdalifah hingga tengah malam dan mengutip batu untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya.
Kemudian keesokan paginya, 10 Zulhijjah, jemaah segera beredar meninggalkan Muzdalifah menuju Mina untuk melaksanakan ibadah melontar, iaitu melontar 7 biji batu ke Al-Jamrah Aqabah (pertama) sebagai simbolik mengusir syaitan.
 
Mina

Ketika haji semua umat manusia akan menjadi saudara seolah sudah lama mengenali.

Mabit di Mina adalah pada hari Tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Mina ialah lokasi ketiga dalam operasi masyair (Arafah – Mudzalifah – Mina), para jemaah akan berada di Mina selama 3 hari atau secepat-cepatnya 2 hari untuk melontar jamrah yang ditentukan. Para Jemaah akan bergerak ke kawasan Mina selepas selesai bermabit (bermalam) dan mengutip batu di Mudzalifah.

Penginapan di mina yang selesa.

Jemaah menjamu selera dalam keadaan yang selesa.

Tiada rukun haji di Mina tetapi ada tiga wajib haji iaitu mabit (bermalam) di Mina, melontar Jamrah Kubra, dan melontar ketiga-tiga jamrah. Bagi yang tinggal di Mina Muhassir, mereka akan melontar selepas tengah malam dan balik ke khemah di Mina Muhassir bagi bermalam di Mudzalifah.

 

Dr. Azlan dan isteri di khemah-khemah di mina.

Pada tarikh ini juga, umat Islam akan menyambut Hari Raya ‘Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban. Mereka yang berkemampuan termasuk yang berada di luar kota suci Mekah akan melakukan ibadah korban untuk diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

 

Suasana di Mina yang tidak mungkin dilupakan.

Melontar
Melontar Jamrah Qubra, pada tanggal 10 Zulhijjah iaitu dengan cara melontarkan tujuh biji batu berturut-turut dengan mengangkat tangan pada setiap lemparan batu sambil berucap;

                                                          بِسْمِ اللهِ اَللهُ أَكْبَر، رَجْمًا لِلشَّيْطَانِ وَحِزْبِه

“Dengan nama ALLAH yang maha besar, melontar syaitan dan pengikut-pengikutnya”

 

Jemaah bergerak ke tempat melontar.

Setiap batu harus mengenai ke dalam jumrah jurang besar tempat jamrah. Pada Hari Tasyrik, 11 dan 12 Zulhijjah pula, jemaah akan menyambung lontaran ketiga-tiga Jamratul Sughra, Jamratul Wusta dan Jamratul Qubra selepas solat Isyak bermula pada 9 malam.

 

Perjalanan menuju ke tempat melontar.

Seterusnya pada 13 Zulhijjah, jemaah haji yang melakukan Nafar Thani akan melontar selepas Solat Subuh antara 6 pagi hingga 8.30 pagi. Setelah selesai melontar para jemaah akan meninggalkan Mina menuju ke Makkah untuk menyempurnakan ibadat haji dengan mengerjakan Tawaf dan Saie.

Dr. Azlan ketika nafar thani.

Jika di tanya di manakah gambar ketika khutbah di bacakan, atau ada yang bertanya di manakah gambar ketika melontar? jawabnya mudah, penulis juga perlu fokus kepada ibadah agar haji dapat ditunaikan sesempurna mungkin. sama-samalah mendoakan agar haji yang dilakukan dikurniakan haji yang mabrur. Amin.

HADITH BADAL/UPAH HAJI DAN UMRAH

  • August 29, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized
 
Hadith-hadith Badal/Upah Haji dan Umrah
Bagi mereka yang ingin melaksanakan upah haji kepada kaum keluarga atau sahabat handai yang telah pergi ke rahmatullah dan ingin tahu akan kelebihan serta dalil pensyariatannya. Berikut dinukilkan beberapa hadis sebagai tatapan kita bersama supaya kita lebih kuat untuk menghadiahkan upah haji kepada mereka yang telah meninggal dunia.

 

  1. Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya ialah haji yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: ”Ya!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  2. Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakaannya sehingga meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?” Jawab Baginda: ”Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan.” (Riwayat Bukhari).
  3. Ibnu Abbas juga meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa saudara atau kerabat seorang yang bernama Syubrumah bertanya kepada Nabi s.a.w. bagi menunaikan haji untuknya, lantas Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu sendiri?” Jawabnya: ”Tidak!” Sabda Baginda: ”Tunaikanlah untuk dirimu, kemudian tunaikanlah untuk Syubrumah.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.
  4. Imam Ahmad dan Nasai telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair katanya: “Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi s.a.w. dan berkata: “Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Apakah kamu anaknya yang paling tua?” Jawabnya: ”Ya!” Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tunaikanlah haji untuknya.” (Riwayat Ahmad dan Nasai).
  5. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan keharusannya, malah wajib ditunaikan ibadah haji bagi sesiapa yang meninggal dunia, sakit yang tiada harapan sembuh atau tersangat lemah atau seumpamanya, jika ia telah memenuhi syarat-syarat wajib haji yang telah disebut. Andainya si anak atau waris tidak mampu untuk melakukan haji kepada mereka maka bolehlah diberi upah kepada mereka yang boleh untuk menguruskannya.

IBADAH AQIQAH

  • August 27, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 0 comments /
  • Under : Uncategorized
 
Aqiqah menurut bahasa ertinya “Rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir. Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari. Antara lainnya, Aqiqah juga bermaksud “memotong.”
Manakala menurut istilah pula ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Perkataan aqiqah dari kata al-Iqqah bererti rambut anak yang baru dilahirkan.Aqiqah afdhal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
 
SEJARAH AQIQAH
Secara ringkas, sesungguhnya sejarah Aqiqah ini telah dimulai dari zaman jahiliyyah namun perlaksanaannya berbeza dengan contoh yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w. Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa,“Pada zaman Jahiliyyah, apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang – orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun – ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu.”
 
Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
 
DALIL AQIQAH
Hal ini disokong dengan hadith berikut:
·         “Dahulu kami di masa jahiliyah apabila salah seorang diantara kami mempunyai anak, ia menyembelih kambing itu. Maka, setelah Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih kambing, mencukur (menggundul) kepala si bayi, dan melumurinya dengan minyak wangi.” [HR. Abu Dawud juz 3, hal. 107, no. 2843 dari Buraidah].
·         “Dari ‘Aisyah, ia berkata, “Dahulu orang-orang pada masa jahiliyah apabila mereka berakikah untuk seorang bayi, mereka melumuri kapas dengan darah akikah, lalu ketika mencukur rambut si bayi mereka melumurkan pada kepalanya. Maka Nabi s.a.w. bersabda,”Gantilah darah itu dengan minyak wangi” [HR. Ibnu Hibban juz 12, hal. 124, no. 5308]
 
HUKUM AQIQAH
Hukum melakukan aqiqah itu adalah Sunat Mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut melakukannya dalam Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad s.a.w ketika Baginda mengaqiqahkan cucu  baginda, Hassan dan Hussain r.a. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah)”. Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.”[HR. Abu Daud]
 
Maksud hadis daripada perkataan (“suka atau ingin” menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib. Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
 
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR. Tirmizi]
“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi]
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]
 
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
 
MASA DAN KADAR HAIWAN AQIQAH
Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat – syarat yang serupa dengan haiwan – haiwan untuk ibadah korban.
 
Jenis Haiwan Umur Minima
1.      Kibas satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan
2.      Biri-biri dan kambing melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya
3.      Lembu dan kerbau melebihi dua tahun
4.      Unta Melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Yang lebih utama untuk kadar aqiqah
·         Anak lelaki ialah dua ekor kambing
·         Anak perempuan seekor kambing,
 
Menurut hadis riwayat Aisyah yang bermaksud:“Rasullulah s.a.w memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w. telah membuat aqiqah untuk cucu Baginda s.a.w. Saidina Hasan dan Husin r.a. masing – masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
 
Imam Malik, Asy Syafi’e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.
 
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari.Kemudiannya ketika umur 21 hari.Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).
 
Apabila anak sudah dewasa, maka ada para ulama’ menetapkan sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.

UPAH HAJI TANGGUNGJAWAB WARIS

  • August 13, 2018/
  • Posted By : admin/
  • 1 comments /
  • Under : Uncategorized
 
Upah haji atau badal haji adalah Tangungjawab Pewaris dan Anak.Upah haji bermaksud melakukan ibadah haji bagi pihak orang lain. Upah haji ini harus dilakukan sekiranya seseorang itu telah memenuhi syarat wajib menunaikan haji, tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana sebab-sebab tertentu. Hajinya boleh ditunaikan oleh warisnya atau orang lain. Di antara sebab yang mengharuskan haji diwakilkan kepada orang lain ialah;
 
Read More

Recent Posts
  • PAHALA & HIKMAH UPAH HAJI
  • AIR ZAM-ZAM MENURUT SAINS
  • KELEBIHAN AIR ZAM-ZAM
  • AIR ZAM-ZAM DAHULU & SEKARANG
  • SEJARAH AIR ZAM-ZAM
Tentang Kami

Pengendali Badal / Upah Haji Dan Umrah Secara Professional

Since 2006 © Muassasah Management