Bentuk perigi lama air zam-zam yang di letakkan di muzium sebagai pameran generasi terkini yang tidak sempat melihat keadaan perigi suatu ketika dahulu.

Berdasarkan riwayat Ibn Majjah, berikut merupakan fadhilat atau kelebihan air zam-zam kepada kita:
• Air zam-zam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah
• Air zam-zam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang lebih sahih bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.
• Air zam-zam adalah kurniaan daripada Allah yang utama kepada kekasihNya iaitu Nabi Ismail AS.
• Air zam-zam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Ini merupakan pendapat dari Imam ibn al-Daiba’ al-Syaibani.
• Allah SWT telah menjadikan air zam-zam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.
• Banyak meminum air zam-zam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq. (Hal ini kerana orang munafiq tidak mempercayai kelebihannya)
Disamping itu, kelebihan air zam-zam juga adalah:
• Air zam-zam adalah air terbaik di dunia. Ini dibuktikan berdasarkan hadith:
Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Mafhumnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)] [al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadith ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat: Majma’ al-Zawaid, 286/3]
• Air zam-zam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar bagi penyakit (dengan izin Allah).
Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Padanya (air zam-zam) terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi [penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]
• Air zam-zam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW.
Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zam-zam”. [Riwayat al-Bukhari (1636)]
• Air zam-zam bergantung pada niat orang yang meminummya.
Daripada Ibnu ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Air Zam-zam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air Zam-Zam adalah galian Jibril, dan curahan minum daripada Allah kepada Ismail.” [Hadits hasan li ghairihi. Lihat kitab Shahih Targhib wa Tarhib, al Albani, 2/19.]