Upah haji atau badal haji adalah Tangungjawab Pewaris dan Anak.Upah haji bermaksud melakukan ibadah haji bagi pihak orang lain. Upah haji ini harus dilakukan sekiranya seseorang itu telah memenuhi syarat wajib menunaikan haji, tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana sebab-sebab tertentu. Hajinya boleh ditunaikan oleh warisnya atau orang lain. Di antara sebab yang mengharuskan haji diwakilkan kepada orang lain ialah;
 
1. Meninggal dunia.
Seseorang yang telah memenuhi syarat wajib menunaikan haji tetapi tidak melaksanakannya tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie kemudian dia meninggal dunia, kewajipan haji tidak gugur. Ibadah hajinya hendaklah ditunaikan oleh warisnya atau orang lain.
Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:

عَنْ بُرَيْدَةَ قَالَ جَاءَتْ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تَحُجَّ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا قَالَ وَهَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ

Buraidah menyatakan bahwa seorang perempuan datang kepada Rasul lalu bertanya: ibuku telah meninggal dan ia belum haji, apakah aku harus menghajikannya ? Rasul menjawab: Ya, hajikanlah ibumu !
Rujukan: (H.R. Kitab al-Tirmizi juz 2, h. 205; al-Nasa’i. juz 5, h. 116; al-Darimi, juz 2, h. 41; Ibnu Majah juz 2, h. 969 bandingkan dengan Muslim kitab Shiyam no. 1939)
 
2. Kerana nazar yang sudah diungkapkan tapi tidak sempat ditunaikan sewaktu hidup hinggalah meninggal dunia.
Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً اقْضُوا اللَّهَ فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Dari Ibn ‘Abbas seorang perempuan dari suku Juhnah datang kepada Rasul bertanya: ibuku telah bernazar untuk melakukan haji, tetapi tidak melaksanakan haji sampai ia meninggal, apakah aku harus menghajikan ibuku? Rasul menjawab: Hajikanlah ibumu, apakah kalau ibumu punya hutang kamu juga dituntut untuk membayarnya?  Bayarkanlah, hak Allah lebih berhak untuk disempurnakan. 
Rujukan: (H.R. al-Bukhari, juz 1, h. 709-710; al-Nasa’i. juz 5, h. 116; al-Darimi, juz 2, h. 183)
 
3. Tidak mempunyai keupayaan fizikal.
Orang yang sakit tidak ada harapan sembuh, tua dan sebagainya bagi lelaki atau perempuan maka harus  mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan haji.
Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ الْفَضْلِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَسْتَوِيَ عَلَى الرَّاحِلَةِ فَهَلْ يَقْضِي عَنْهُ أَنْ أَحُجَّ عَنْهُ قَالَ نَعَمْ

Dari Ibn Abbas (Abdullah dan al-Fadhl) pada waktu haji wada’ seorang wanita dari suku Khats’am bertanya: Ya Rasulullah haji itu telah diwajibkan Allah kepada hambanya, tapi bapakkku sudah sangat tua dan tidak sanggup untuk melaksanakan haji apakah aku harus menghajikannya ? Rasul menjawab: Ya.
Rujukan: (H.R. al-Bukhari, juz 1, h. 710, Muslim, juz 2, h. 973 dan 974; al-Tirmizi, juz 2, h. 203-204; (2 hadis); al-Darimi, juz 2, h. 40-41 (5 hadis); Ibnu Majah juz 2, h. 970; Abu Daud juz 2, h. 161-162; al-Nasa’i. juz 5, h. 117)