Aqiqah menurut bahasa ertinya “Rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir. Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan Zamakhsyari. Antara lainnya, Aqiqah juga bermaksud “memotong.”
Manakala menurut istilah pula ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Perkataan aqiqah dari kata al-Iqqah bererti rambut anak yang baru dilahirkan.Aqiqah afdhal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
SEJARAH AQIQAH
Secara ringkas, sesungguhnya sejarah Aqiqah ini telah dimulai dari zaman jahiliyyah namun perlaksanaannya berbeza dengan contoh yang ditunjukkan Nabi Muhammad s.a.w. Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa,“Pada zaman Jahiliyyah, apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang – orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun – ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu.”
Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
DALIL AQIQAH
Hal ini disokong dengan hadith berikut:
· “Dahulu kami di masa jahiliyah apabila salah seorang diantara kami mempunyai anak, ia menyembelih kambing itu. Maka, setelah Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih kambing, mencukur (menggundul) kepala si bayi, dan melumurinya dengan minyak wangi.” [HR. Abu Dawud juz 3, hal. 107, no. 2843 dari Buraidah].
· “Dari ‘Aisyah, ia berkata, “Dahulu orang-orang pada masa jahiliyah apabila mereka berakikah untuk seorang bayi, mereka melumuri kapas dengan darah akikah, lalu ketika mencukur rambut si bayi mereka melumurkan pada kepalanya. Maka Nabi s.a.w. bersabda,”Gantilah darah itu dengan minyak wangi” [HR. Ibnu Hibban juz 12, hal. 124, no. 5308]
HUKUM AQIQAH
Hukum melakukan aqiqah itu adalah Sunat Mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut melakukannya dalam Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad s.a.w ketika Baginda mengaqiqahkan cucu baginda, Hassan dan Hussain r.a. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah)”. Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.”[HR. Abu Daud]
Maksud hadis daripada perkataan (“suka atau ingin” menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib. Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR. Tirmizi]
“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi]
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
MASA DAN KADAR HAIWAN AQIQAH
Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat – syarat yang serupa dengan haiwan – haiwan untuk ibadah korban.
Jenis Haiwan Umur Minima
1. Kibas satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan
2. Biri-biri dan kambing melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya
3. Lembu dan kerbau melebihi dua tahun
4. Unta Melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Yang lebih utama untuk kadar aqiqah
· Anak lelaki ialah dua ekor kambing
· Anak perempuan seekor kambing,
Menurut hadis riwayat Aisyah yang bermaksud:“Rasullulah s.a.w memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w. telah membuat aqiqah untuk cucu Baginda s.a.w. Saidina Hasan dan Husin r.a. masing – masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Imam Malik, Asy Syafi’e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari.Kemudiannya ketika umur 21 hari.Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).
Apabila anak sudah dewasa, maka ada para ulama’ menetapkan sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.