Sebagaimana yang kita ketahui bahawa air zamzam ini mucul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah. Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) makkah.
Firman Allah SWT: Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. [Surah Ibrahim: 14:37]
Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan di dalam sahih al-Bukhari,
Daripada Abdullah bin Abbas RA: Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun.
Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Safa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. [Riwayat al-Bukhari]