Kelebihan atau keistimewaan air zam-zam ini juga telah diakui oleh saintis dari Jepun iaitu Dr. Masaru Emoto. Beliau mengatakan bahawa air boleh membentuk molekul. Molekul air ini yang akan merembes ke dalam tubuh manusia, serta ia boleh memberikan kesan kepada tubuh badan manusia. Pada tahun 2003, beliau turut membuat kajian terhadap air zamzam dan terdapat dalam bukunya ‘The True Power of Water’ tentang hasil yang menakjubkan tentang air zamzam, menurutnya daripada sejumlah molekul air yang dikaji, hanya molekul air zamzam yang bentuknya teratur, mempunyai keindahan dan keunikan yang sungguh berbeza.

 

Molekul air zamzam berbentuk kristal indah teratur dan berkilauan seperti berlian. Keunikan ini mencerminkan keistimewaan yang dimiliki oleh air zamzam dari segi rasa, struktur molekul dan khasiat yang tidak terdapat pada air-air yang pernah dikajinya.
Kekuatan air zamzam terdiri daripada empat unsur bahan yang berkhasiat di dalamnya. Empat bahan galian yang berunsur kimia yang dimaksudkan ialah Kalium, kalsium, magnesium, natrium. Kalium dan magnesium merupakan bahan galian yang amat penting dan diperlukan oleh tubuh manusia untuk mengembalikan kesegaran dan memulihkan tenaga yang terjejas akibat keletihan dan gangguan penyakit. Oleh kerana kandungan kedua-kedua galian ini dalam air zamzam jauh lebih tinggi daripada air-air biasa yang lain, maka bolehlah dirumuskan bahawa air zamzam merupakan satu rahmat Allah SWT dan mempunyai berbagai-bagai manfaat untuk manusia.