Tempat berlakunya peristiwa ketika diperintahkan kepada Ibrahim a.s. untuk menyembelih anaknya Ismail a.s.

 

Pengenalan Ibadah Qurban
Pada bulan Zulhijah setiap kaum Muslim melaksanakan ibadah khusus, iaitu melaksanakan Korban atau menyembelih haiwan. Ibadah korban sangatlah ditekankan dalam ajaran Islam sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah dan untuk menyebarkan rahmat Allah kepada sesama manusia. Dengan syariat Korban ini, maka ada penyaluran yang baik untuk kita lakukan. Ibadah korban akan membawa kebahagiaan rohani dan jasmani kepada seorang individu. Sekaligus mengeratkan hubungan sosial sesama manusia agar yang mampu dapat berbagi kepada yang tidak mampu, sehingga semua dapat merasakan kenikmatan bersama.
Ibadah korban merupakan salah satu perintah Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat karena Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.” (Al-Kauthar,108: 1-3)
 
Sejarah Ibadah Qurban
Ibadah korban bukanlah satu hal baru dalam sejarah umat Islam, bahkan sejak zaman Nabi Adam a.s., manusia pertama yang diciptakan oleh Allah sudah ada pelaksanaan korban, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Qur’an: Maksudnya “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maaidah,5: 27) Dalam kisah ini dijelaskan dua orang anak Adam sama-sama mempersembahkan korbannya kepada Allah, namun hanya korban dari Habil yang diterima, sedangkan korban dari Qabil tidak diterima. Mengapa demikian? Karena ternyata hanya korban yang dipersembahkan dengan ikhlas saja yang diterima oleh Allah SWT.
Selain itu, ibadah korban ini juga cukup sinonim dengan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang manusia yang telah digelar sebagai “Khalilullah” iaitu kekasih Allah, kerana kecintaan dan ketaatan kepada Tuhanya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu (Tuhan) yang telah menciptakan daku, lalu Dia menunjukkan daku (jalan hidayah). Dan yang telah memberikan daku makan dan minum. Dan yang apabila daku sakit, Dia menyembuhkan (daku). Dan yang akan mematikan daku, kemudiannya Dia menghidupkan (kembali). Dan yang amat ku ingini mengampunkan kesalahanku pada hari pembalasan”(As-Syu’ara’,26: 78-82)
Nabi Ibrahim a.s merupakan seorang insan di dalam jiwanya penuh dengan perasaan kasih dan sayang. Bapanya yang kufur kepada Allah tetap dilayan dengan baik, bahkan didoakan keampunan buatnya sehingga datang perintah Allah untuk berhenti berdoa. Sifat ini, apatah lagi kepada anaknya yang dikurniakan Allah pada lewat usianya. Firman Allah SWT, “Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pada usia tuaku, Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (dan memperkenan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah daku dan zuriat keturunanku dari kalangan orang-orang yang menunaikan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah!” (Ibrahim,14: 39-40)
Pada suatu malam, Nabi Ibrahim a.s mendapat satu mimpi bahawa Baginda menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s. Ia merupakan satu perintah yang cukup menduga hati Baginda. Disebabkan hal itu, Nabi Ibrahim a.s telah mengkhabarkan kepada anaknya, Nabi Ismail a.s, yang baru mencecah usia baligh, untuk bertanyakan pandangannya. Nabi Ibrahim a.s bertanya bukan untuk mendapatkan keputusan, tetapi untuk menegaskan bahawa perintah Allah itu wajib dilaksanakan. Kisah ini tercatat di dalam firman Allah SWT: “Maka apabila anak itu sampai (pada umur mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab, “Wahai bapaku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar!” (As-Saffat,37: 102)
Perjuangan seorang bapa ini telah mendapat sokongan dari anaknya yang soleh. Bahkan si anak berusaha membantu bapanya di dalam melaksanakan suruhan Allah SWT. Nabi Ismail a.s dibaringkan di atas lantai, lalu diambil parang tajam yang sudah tersedia. Parang diletakkan pada leher Nabi Ismail a.s dan penyembelihan di lakukan, akan tetapi dengan kuasa Allah SWT, parang yang tajam itu menjadi tumpul dileher Nabi Ismail a.s dan tidak dapat dilakukan penyembelihan tersebut. Seraya Nabi Ismail a.s berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku.” Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah pergorbanan Nabi Ismail a.s itu hanya suatu ujian. Ujian itu adalah untuk mengukur sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pergorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail a.s tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam kecintaanya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raga untuk dikorbankan.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmanNya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah Kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan .” Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa Nabi Ismail a.s telah diselamatkan itu, Allah SWT telah menukarkan dengan seekor kambing yang telah tersedia di samping Nabi Ibrahim a.s dan segera dipotong leher kambing itu oleh baginda. Dan inilah asal permulaan sunnah berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap hari raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.
 
Syarat Ibadah Qurban
  • Islam
  • Baligh (Tidak diharuskan bagi wali kanak-kanak melakukan korban untuknya kecuali jika walinya itu bapa atau datuknya, dengan syarat perbelanjaan korban itu daripada wang bapa atau datuknya.)
  • Berakal
  • Merdeka
  • Berkuasa ( المستطيع) iaitu orang yang mempunyai keperluan yang lebih untuk dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya haji dan hari-hari tashriq. Orang yang tidak berkuasa haram ke atasnya melakukan korban sunat.
Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan qurban
  • Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).
  • Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu, sunat melihat binatang korbannya disembelih.
  • Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti berikut;

 

الْمُسْلِمِينَ مِنَ وَأَنَا أُمِرْتُ وَبِذَلِكَ لَهُ شَرِيكَ لَا الْعَالَمِينَ،  رَبِّ لِلَّهِ وَمَمَاتِي وَمَحْيَاي وَنُسُكِي صَلَاتِي  إِنَّ –

بَيْتِي وَأَهْلِيْ مِنّيْ تَقَبَّلْ  اللَّهُمَّ-

 

Syarat Binatang Qurban
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu dari jenis binatang ternakan.
Para ulama telah bersepakat bahawa korban tidak sah melainkan daripada binatang ternakan, iaitu unta, lembu, kerbau, kibas (biri-biri) atau kambing. Tidak sah korban dengan lembu liar.
Firman Allah SWT, Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Al-Hajj: 34)
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu cukup umurnya.
  • Unta, sekurang-kurangnya lima tahun lebih (masuk enam tahun).
  • Lembu, kerbau dan karnbing sekurang-kurangnya dua tahun lebih (masuk tiga tahun).
  • Kibas, sekurang-kurangnya setahun lebih (masuk dua tahun) atau bersalin giginya sekalipun belum mencukupi satu tahun.
  • Binatang kacukan di antara jenis-jenis tersebut, maka sekurang-kurangnya ialah yang paling tinggi sesudah dirujuk kepada kedua ibu-bapanya. Misalnya: Kacukan di antara kambing dengan biri-biri, maka had umurnya didasarkan kepada kambing iaitu dua tahuh lebih.
  • Hendaklah binatang yang dikorbankan itu tidak ada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya seperti yang sakit (kelihatan kurus), yang terpotong ekornya dan seumpamanya. Adapun kecacatan seperti binatang yang dikasi, yang carik telinga, yang tiada tanduk, yang patah tanduk, maka tidak mengapa kerana kecacatan tersebut tidak mengurangkan dagingnya. Walaubagaimanapun, ia adalah makruh.
  • Hendaklah dilakukan korban di dalam waktunya. Iaitu bermula selepas berlalu solat sunat hari raya iduladha serta dua khutbahnya yang ringkas setelah naik matahari pagi hari raya dan berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
  • Hendaklah diniatkan berkorban, sama ada diniatkan oleh:
  • Orang yang berkorban itu sendiri ketika dia atau wakilnya menyembelih, atau ketika dia memberi wakil kepada tukang menyembelihnya
  • Wakil yang telah diwakilnya berniat dengan syarat dia adalah seorang Islam dan mumaiyiz.
 
Cara Pengagihan Daging Qurban
  • Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar yang dapat dinamakan sedekah (iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).
  • Daging korban (Harus) jika hendak disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin. Namun (Sunat) orang yang melakukan korban menikmati sedikit darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.
  • Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak;
  • Untuk dimakan diri dan ahli keluarga,
  • Disedekahkan kepada fakir miskin,
  • Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka kaya/berada.
  • Dilarang menjual apa-apa bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah diharuskan.
  • Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban kepada orang kafir yang berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak melarangnya.
  • Korban nazar dan korban untuk orang telah mati; wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin.